September 26, 2010

[Terkini] Kes Pembunuhan Sosilawati | Polis temui lokasi mayat ditanam

KUALA LANGAT: Dua lokasi baru dipercayai adalah tempat dua mayat yang dikaitkan dengan suspek utama kes bunuh jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lelaki lain ditanam, ditemui di kawasan Ladang Gadong, Banting di sini, hari ini. 


Difahamkan, kedua-dua lokasi itu terletak di kawasan ladang milik suspek utama terbabit di mana satu daripadanya terletak di bahagian dalam, manakala satu lagi di bahagian luar.

Polis mendapat petunjuk berhubung lokasi berkenaan hasil maklumat daripada empat suspek yang dibawa masuk ke dalam ladang itu kira-kira jam 4 petang tadi.

Tinjauan juga mendapati sebuah jentolak dibawa masuk kira-kira pukul 4.30 petang di kawasan ladang itu dipercayai digunakan untuk kerja-kerja mengesan lokasi mayat tersebut. 

Bagaimanapun, operasi mengorek dua lokasi itu hanya akan dilakukan pagi esok berikutan kesemua kenderaaan forensik, MPV polis dan sebuah van yang membawa suspek, keluar semula dari ladang itu kira-kira jam 6.45 petang. 

Sosilawati, 47, bersama pemandu peribadinya, Kamaruddin Shansuddin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Abd Karim, 32, dilapor hilang sejak 30 Ogos lalu yang dikatakan ke Banting, Selangor untuk urusan pembelian tanah. 

Pada 13 September lalu, polis mengesahkan keempat-empat mereka telah dipukul sampai mati sebelum mayat mereka dibakar dan abunya dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong. 
Suspek utama kes tersebut yang juga seorang peguam turut dikaitkan dengan kes kehilangan beberapa individu lain termasuk seorang ahli perniagaan dari India, Allal Kanthan Muthuraja, 34, dan seorang kontraktor Shafik Abdullah, 37, dari Kedah serta seorang rakannya. 

Muthuraja dilaporkan hilang selepas tiba di Malaysia pada 18 Januari lalu dan Shafik serta rakannya dilaporkan hilang sejak lima bulan lalu. 

Kesemua mereka dilaporkan hilang selepas berjumpa dengan suspek utama itu. - Bernama

4 comments:

Siti said...

hmm..harap cepat2lah kes ni setel..yg penting pembunuh tu diberi hukuman setimpalnye..dan jadi pengajaran pd org lain..

Kyuubi_85 said...

harap2 semuanya berjalan lancar nanti

Aizat Shafiq said...

@siti

harapnnye macam tu la...
tapi sekarang ni timbul pulak kes2 lain...
huhuhu

Aizat Shafiq said...

@kyuubi_85

harapnye macam tu la...